Kebelakangan ni aku cuba masukkan beberapa rutin baru dalam kehidupan harian. Bukan nak buat perubahan besar-besaran atau ikut trend tertentu, tapi lebih kepada cuba bina tabiat kecil yang boleh membantu badan rasa lebih baik dan lebih bertenaga.
Antara rutin yang aku mula buat adalah exercise selama 10 minit pada waktu pagi.
Sebenarnya, sebelum ni aku memang pernah aktif pergi gym. Masa sebelum kahwin, gym memang menjadi salah satu rutin aku setiap minggu. Aku suka juga workout sebab rasa badan lebih ringan, lebih bertenaga dan ia juga menjadi salah satu cara untuk release stress selepas bekerja.
Tapi selepas berkahwin, banyak benda berubah. Aku dan pasangan berpindah ke lokasi baru dan rutin gym aku pun mula terhenti. Pada awalnya memang ada niat nak cari gym yang dekat dengan tempat baru, tetapi lama-kelamaan aku mula tangguh dan akhirnya terus stop.
Bila dah lama tak workout, nak mula balik memang agak susah. Kadang-kadang rasa malas, kadang-kadang rasa macam kena tunggu masa yang sesuai baru nak mula. Tapi sebenarnya, kalau tunggu masa yang sempurna, mungkin kita takkan mula-mula.
Sebab itu aku cuba pendekatan yang lebih simple. Aku tak terus paksa diri untuk kembali buat workout berat macam dulu. Aku mulakan dengan exercise selama 10 minit pada waktu pagi.
Biasanya aku akan mulakan dengan stretching ringan, beberapa senaman menggunakan berat badan sendiri, dan sedikit pergerakan untuk aktifkan badan. Walaupun tempoh masa tak lama, ia cukup untuk buat badan rasa lebih segar berbanding terus duduk atau menghadap skrin selepas bangun tidur.
Bagi aku, rutin yang simple untuk dilakukan lebih baik daripada plan yang terlalu sempurna tapi susah untuk dikekalkan.
Selain exercise, satu lagi perubahan kecil yang aku cuba adalah menambah madu dalam rutin harian.
Manfaat Madu
- Sumber antioksidan: Madu mengandungi sebatian antioksidan yang membantu melindungi sel badan daripada tekanan oksidatif.
- Alternatif kepada gula biasa: Rasa manis semula jadi madu boleh menjadi pilihan untuk menggantikan penggunaan gula tambahan dalam sesetengah makanan atau minuman.
- Memberi tenaga: Kandungan gula semula jadi dalam madu boleh menjadi sumber tenaga dengan cepat apabila diperlukan.
- Menyokong kesihatan umum: Madu sering diamalkan sebagai sebahagian daripada rutin harian untuk menyokong gaya hidup yang lebih sihat.
Madu memang dah lama menjadi salah satu makanan semula jadi yang ramai orang amalkan. Aku cuba jadikan madu sebagai salah satu pilihan dalam rutin pagi, terutama bila aku nak kurangkan pengambilan minuman manis yang sebelum ni agak susah untuk dikawal.
Perubahan kecil macam ni nampak sederhana, tapi bagi aku ia membantu aku untuk jadi lebih sedar dengan apa yang aku ambil setiap hari. Kadang-kadang bukan perlu ubah semuanya sekaligus, cukup dengan mula menggantikan beberapa tabiat lama dengan pilihan yang lebih baik.
Aku juga belajar bahawa gaya hidup sihat bukan bermaksud perlu terlalu extreme dengan diri sendiri. Masih boleh menikmati makanan kegemaran, masih boleh berehat, tetapi dalam masa yang sama cuba cari keseimbangan.
Bermula dengan 10 minit exercise, minum lebih banyak air kosong, tambah pilihan makanan yang lebih baik, dan cuba kekalkan rutin harian secara konsisten.
Mungkin perubahan ini nampak kecil sekarang, tetapi bila dilakukan secara berterusan, ia boleh menjadi sebahagian daripada gaya hidup yang lebih baik.
Tak perlu tunggu masa yang sempurna untuk mula 💓


Betul itu mulakan perubahan yang kecil.
ReplyDeleteHarap istiqamaj.
thanks for sharing. truly inspiring..memang nak start diet dan exercise la slowly
ReplyDelete